Get Adobe Flash player

Jemaah umrah tertipu kurang tempat mengadu

JAWHAR perlu kerjasama beri kesedaran elak jadi mangsa

INDUSTRI pelancongan Muslim khususnya pakej haji dan umrah di negara ini semakin berkembang dan dianggarkan bilangan yang menunaikan umrah meningkat saban tahun. Tahun lalu saja mencecah hampir 90,000 orang.

Peningkatan itu didorong kekuatan kewangan umat Islam, selain mendapati menunaikan haji kecil juga wajib yang mampu. Lantaran pasaran luas, tidak hairanlah ribuan agensi pelancongan dan pengembaraan yang berdaftar atau tidak dengan Kementerian Pelancongan serta persatuan pelancongan berebut mencari pelanggan dengan menawarkan pakej menarik yang ada antaranya tidak masuk akal. Ini termasuk syarikat pelancongan Bumiputera dan bukan Bumiputera yang berlumba mencari pelanggan, termasuk melantik wakil di ceruk kampung bagi mengumpul jemaah dengan menjanjikan tawaran 10 orang mendaftar akan menerima satu pakej umrah percuma.

Tiada satu akta pun menegah syarikat termasuk bukan Bumiputera yang berdaftar dengan kementerian membabitkan diri dalam pengendalian pakej umrah, walaupun mereka tidak mempunyai pengalaman dan pengetahuan dalam bidang itu.

Mereka boleh menjalankan aktiviti perniagaan, hatta membuat tempahan penginapan terus ke Makkah dan Madinah, menguruskan tiket kapal terbang, melantik mutawif bagi mengurus aktiviti perjalanan umrah atau pun mendapatkan visa umrah daripada syarikat dilantik Kedutaan Arab Saudi.

Masalah hanya timbul apabila jemaah ditipu ejen atau syarikat pelancongan sehingga tidak sempat menjejakkan kaki ke Tanah Suci walaupun sudah membayar pakej ribuan ringgit, kalau tiba di sana pula, janji manis yang ditaburkan indah khabar daripada rupa.
Jemaah sedar cabaran menunaikan ibadah ini menuntut kesabaran tinggi dan berhadapan risiko jika membuat tempahan dengan syarikat yang tidak diketahui latar belakang terutama kepada mereka yang tidak ada pengalaman dan pertama kali ke Tanah Suci.

Berikutan tiada entiti yang memantau perkembangan ini, maka berlaku pelbagai amalan tidak profesional di kalangan pengamal industri ini termasuk mengutip wang daripada pelanggan tanpa lesen atau kemudahan yang ditawarkan tidak sama seperti diiklan dalam pakej.

Kepada siapa mereka harus mengadu nasib walaupun sudah mengambil tindakan berhati-hati. Untuk mengadu kepada Lembaga Tabung Haji, agensi itu hanya melaksana pakej haji manakala umrah pula hanya mereka yang mengambil pakej daripada anak syarikat Tabung Haji, (TH Travel & Services) dilayan.

Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Jabatan Perdana Menteri, yang diberi kuasa mengambil tindakan terhadap ejen atau syarikat ingkar pakej pelancongan umrah juga tidak dapat berbuat apa-apa.

Dengan tidak sampai lima kakitangan, kuasa mereka agak terbatas untuk menyiasat dan mengambil tindakan melainkan menunggu aduan mangsa yang tidak berpuas hati atau tertipu.

Malangnya, tidak ramai tahu fungsi jabatan ini, kalau ada pun yang membuat aduan tidak ramai. Begitu juga aduan diperoleh Kementerian Pelancongan berhubung penipuan pakej ini, tidak ramai yang mengadu walaupun laporan penipuan ini banyak disiarkan media massa.

Pengarah JAWHAR, Ahmad Azhan Mohd Noh, berkata pihaknya diberi peranan terhad kerana kuasa penuh dikawal kementerian.

“Kami dalam proses memberi kesedaran kepada orang ramai termasuk pengendali pakej umrah seperti mengadakan pelbagai seminar. Industri ini semakin besar dan pertambahan lebih 10,000 jemaah setahun memerlukan kerjasama semua pihak bagi memastikan industri ini tidak terjejas,” katanya.

Bagi Presiden Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Datuk Mohd Khalid Harun, berkata badan bertanggungjawab seperti JAWHAR perlu memainkan peranan lebih aktif seperti Tabung Haji kerana industri ini semakin berkembang luas pada masa depan.

Katanya, perlu juga kerajaan menggubal akta baru bagi memastikan kepentingan pemain industri dan pengguna terbela.

“JAWHAR juga perlu menambah kakitangan bagi memantau pakej umrah termasuk menempatkan kaunter di Tanah Suci.

“Kehadiran mereka membantu jemaah menerusi jalinan kerjasama dan hubungan erat dengan kerajaan Arab Saudi, industri perhotelan dan pengangkutan di sana bagi menjamin keselesaan jemaah kita,” katanya yang menjelaskan penipuan membabitkan agensi pelancongan adalah kecil dan tidak membimbangkan.

Duta Arab Saudi ke Malaysia, Muhamad Reda Al Hamayel pada persidangan antarabangsa mengenai pelancongan Muslim, haji dan umrah, baru-baru ini menegaskan kedutaannya hanya melayan proses permohonan visa yang diserahkan 21 syarikat pelancongan berdaftar dengan kerajaan Arab Saudi.

Beliau menjelaskan proses permohonan visa juga singkat dan diluluskan kurang sehari melainkan ada alasan tertentu dan pihaknya tidak menyimpan pasport pemohon.

Walaupun permohonan visa dengan kedutaan meningkat saban tahun dengan 60,000 permohonan sehingga bulan ini berbanding pendaftaran setahun pada 2006 seramai 52,000 tidak memberi masalah kepada kedutaan itu.

“Masalah timbul apabila ada syarikat berdaftar menjual pakej pelancongan kepada syarikat tidak berdaftar. Kami bekerjasama dengan kementerian untuk mengambil tindakan terhadap aktiviti ini kerana tidak mahu menjejaskan perjalanan jemaah dan mahu mereka meninggalkan memori indah ketika ke Tanah Suci,” katanya.

 


Petikan Dari Utusan Online, 19 Mac 2011

Lapangan Terbang Sultan Mahmud Terengganu - Umrah Penerbangan Terus Ke Saudi

KUALA TERENGGANU 19 Mac - Terengganu menjadi negeri pertama menawarkan penerbangan umrah secara terus dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini ke Lapangan Terbang King Abdul Aziz Jeddah, Arab Saudi.

Naib Presiden Bahagian Haji dan Sewa Khas Malaysian Airline System Bhd. (MAS), Kapten Nik Huzlan Nik Hussain berkata, penerbangan terus itu memudahkan jemaah dari Pantai Timur apabila dapat menjimatkan masa serta tidak perlu lagi ke Kuala Lumpur.

"Saya berharap semua pihak akan memanfaatkan sepenuhnya peluang ini pada masa akan datang," katanya kepada pemberita selepas majlis keberangkatan jemaah Umrah Anugerah di LTSM, di sini semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, Khazan Che Mat dan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Terengganu, Datuk Mazlan Ngah.

Seramai 451 jemaah yang terdiri daripada para petugas operasi haji tahun lepas dan beberapa kakitangan kerajaan terpilih menunaikan umrah pada kali ini.

Mereka berlepas pada pukul 5.55 petang semalam dengan menaiki pesawat MH8324 dan akan mengambil masa selama sembilan jam sebelum sampai di Jeddah.

Hampir kesemua jemaah menggunakan khidmat agensi pengurusan umrah iaitu Zahafiz Travel & Tours Sdn. Bhd., Imtiyaz Travel & Tours Sdn. Bhd., Rayhar Travels Sdn. Bhd. dan TH Travel & Services Sdn. Bhd.

Setiap agensi menawarkan tiga pakej iaitu pakej biasa, sederhana dan kelas pertama di mana pemilihan pakej bergantung kepada tahap kemampuan jemaah.

Nik Huzlan seterusnya berkata, secara purata, kira-kira 25,000 visa untuk menunaikan umrah telah diberikan kepada penduduk Terengganu, Kelantan dan Pahang pada setiap tahun.

Katanya, jumlah itu merangkumi 30 peratus daripada 80,000 visa yang dikeluarkan kerajaan pada setiap tahun untuk digunakan oleh penduduk negara ini.

 

 


 

Petikan Utusan Online 24 Februari 2011

Lima pesara berputih mata tunai umrah  - ejen pakej tidak diiktiraf.

SEREMBAN 24 Feb. - Hasrat hati lima pesara kerajaan ingin berlepas ke Tanah Suci Mekah pada Mac tahun lalu untuk menunaikan umrah tidak kesampaian gara-gara wang mereka 'dilarikan' ejen pakej ibadat itu.

Ejen terbabit yang merupakan seorang wanita dikatakan menawarkan membawa mereka menunaikan umrah sebelum menghilangkan diri bersama wang RM23,560 yang sudah dibayar oleh pesara terbabit.
Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) Negeri Sembilan yang mendengar tuntutan wakil kumpulan itu, Abdul Rahim Che Din, 61, hari ini memutuskan agar tuntutan itu difailkan semula dengan lebih terperinci selepas mendengar aduan mereka. Dalam aduannya, Abdul Rahim memberitahu tribunal, pada Januari tahun lalu, mereka telah menemui seorang wanita yang dikenali sebagai Normah Yaakub di Kuala Lumpur yang menawarkan pakej umrah dengan bayaran RM5,880 seorang.

Katanya, wanita itu menawarkan pemergian umrah pada Mac tahun yang sama melalui sebuah syarikat pelancongan yang beribu pejabat di sini.

Menurutnya, mereka kemudian membuat bayaran pendahuluan RM1,000 seorang secara tunai manakala bakinya melalui akaun bank atas nama wanita terbabit.

Pesara itu diberikan resit atas nama syarikat Anjung Warith Holidays Sdn. Bhd. yang turut tertera cop syarikat yang didakwa menjalankan pakej umrah tersebut.

''Bagaimanapun, dua hari sebelum tarikh sepatutnya pergi mengerjakan umrah iaitu pada 16 Mac tahun lalu, kami dihubungi wanita itu yang memberitahu jadual perjalanan itu terpaksa ditangguhkan selama dua minggu kerana belum memperoleh visa daripada Arab Saudi.

''Penangguhan itu berlaku sebanyak tiga kali sebelum kami gagal menghubunginya sehingga kini,'' katanya.

Mereka menamakan Ifwat Trans Travel & Tours Sdn. Bhd. (Ifwat) yang beribu pejabat di sini sebagai pihak yang dituntut.

Pengarah Eksekutif Ifwat, Mohd. Rofik Mohd. Yusoff yang hadir pada prosiding itu dalam pembelaannya memberitahu, wanita tersebut telah menggunakan nama Ifwat untuk memperdaya semua mangsa kerana syarikat itu tidak pernah menawarkan pakej umrah kepada mana-mana pihak.

Menurutnya, syarikat juga tidak pernah mengambil wanita itu sebagai ejen atau pekerjanya.

''Saya bersimpati dengan semua yang terlibat tetapi saya percaya mereka ditipu oleh wanita itu,'' katanya.

mod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_counter
mod_vvisit_counterToday297
mod_vvisit_counterYesterday266
mod_vvisit_counterThis month8039
mod_vvisit_counterTotal247679

: 6 guests online