MAKLUMAT DAN NASIHAT KESIHATAN

13 Apr 2014

LATAR BELAKANG MENGENAI KEJADIAN JANGKITAN MERS-CoV

Pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mula melaporkan mengenai kejadian jangkitan  Middle  East Respiratory Syndrome  Coronavirus (MERS-CoV)  pada September 2012. Sehingga 3 Januari2014, sejumlah 177 kes MERS-CoV yang disahkan melalui ujian makmal telah dilaporkan dari seluruh dunia, meliputi 74 kematian.

MERS-CoV adalah merupakan salah satu ahli keluarga (strain) dari kumpulan coronavirus. la merupakan kumpulan keluarga virus yang besar dan terdiri dari pelbagai strain yang boleh menjangkiti manusia dan juga haiwan. SARS yang pernah  menggemparkan dunia pada 2003,  merupakan salah satu dari strain coronavirus tersebut.  Namun begitu, MERS-CoV dan SARS adalah dua strain coronavirus yang berbeza di antara satu dengan yang lain.

Pada ketika ini beberapa negara di rantau Timur Tengah melaporkan kes MERSCoV dan negara-negara tersebut adalah Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Jordan, Qatar dan Tunisia. Begitu juga dengan beberapa negara dari rantau Eropah, iaitu Itali, Jerman, Perancis dan United Kingdom. Bagi kes yang dilaporkan dari Tunisia dan negara-negara rantau Eropah, mereka samada mempunyai sejarah lawatan ke rantau Timur Tengah atau sejarah kontak dengan pelawat yang bergejala sejurus pulang dari lawatan ke Timur Tengah.

Gejala utama yang dikesan dalam kalangan kes MERS-CoV merupakan jangkitan respiratori yang berlaku secara akut dan serius, iaitu demam dan kesukaran untuk bernafas.  Kebanyakan  kes  mengalami  radang  paru-paru  dan terdapat juga sebahagian kes yang dikesan dengan gejala gastrointestinal seperti cirit birit. Bagi individu  yang  menghidapi  penyakit  kronik dan  kurang  daya tahan jangkitan (immunocompromised), gejala jangkitan mungkin berlaku dalam bentuk yang tidak lazim (atypical).

Punca jangkitan (source of infection) dan cara jangkitan (mode of transmission) bagi jangkitan MERS-CoV ini masih lagi belum dapat dikenalpasti. Pihak WHO juga menegaskan bahawa tahap penularan jangkitan tersebut secara keseluruhannya tidak diketahui dan tiada vaksin untuk MERS-CoV pada ketika ini. Buat masa ini, pihak WHO tidak mengeluarkan sebarang nasihat perjalananan (travel advisory) atau mengeluarkan sebarang larangan lawatan ke negara-negara yang terlibat.

NASIHAT KESIHATAN

Kebanyakan kes yang dilaporkan adalah dari negara Arab Saudi. Mengambilkira situasi  semasa kejadian jangkitan  MERS-CoV di  sana dan  kekerapan rakyat Malaysia berkunjung ke Tanah Suci samada bagi mengerjakan ibadah umrah dan juga haji, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia ingin menasihatkan mengenai perkara-perkara seperti berikut:

a) Sebelum Berangkat ke Tanah Suci

i – Persiapan Awal Bagi Yang Ingin Mengerjakan Umrah

• Disarankan  mengambil  vaksinasi  influenza  bermusim  dan Pneumococcal

• Amalkan aktiviti fizikal seperti bersenam dan sebagainya

• Makan secara sihat

• Bijak menangani stress

• Tidak merokok

• Lakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala

• Sediakan bekalan ubat yang mencukupi

• Dapatkan rawatan segera apabila sakit

• Sediakan penutup mulut dan hidung

• Sediakan hand sanitizer

ii – Langkah Pencegahan Jangkitan MERS-CoV

• Mengamalkan adab batuk

- Pakai penutup mulut dan hidung

- Palingkan muka daripada orang lain dan makanan

- Tutup hidung dan mulut dengan tisu atau sapu tangan bila batuk

- Elakkan pergi ke tempat sesak

- Jangan berkongsi sapu tangan atau tuala dengan orang lain

- Elak menyentuh muka, hidung atau mulut

• Sentiasa menjaga kebersihan diri

• Elakkan berkongsi peralatan peribadi

• Kerap membasuh tangan dengan hand sanitizer

• Amalkan cara hidup sihat

b) Semasa Berada di Tanah Suci

i – Peringatan Semasa Di Tanah Suci

• Sentiasa waspada dan jags kesihatan diri

• Amalkan pemakanan sihat dan minum air secukupnya

• Elakkan menjamah makanan mentah atau tidak dimasak

• Minum air yang terawat

• Minum air yang terawat

• Amalkan mencuci tangan secara kerap menggunakan sabun atau hand sanitizer

• Pakai penutup mulut dan hidung yang jenis pakai buang

• Pastikan  anda  berada  di  jarak  yang  selamat (sekurang-kurangnya 1 meter)

• Elakkan mendekati dan menyentuh sebarang jenis haiwan

• Elakkan mendekati dan menyentuh orang yang sakit.

ii – Sekiranya Jatuh Sakit

• Dapatkan rawatan segera

• Jarakkan diri daripada menghampiri orang lain

• Pakai penutup mulut dan hidung

• Kerap mencuci tangan

iii – Golongan Berisiko

• Umur 65 tahun ke atas

• Wanita mengandung

• Mengidap  penyakit  kronik  seperti  bronchial  asthma,  sakit saluran  pernafasan  kronik,  kegagalan  organ

seperti  buah  pinggang,  sakit jantung,  diabetes,  penyakit yang  berkaitan dengan hati, darah dan urat saraf.

• Mempunyai kurang daya tahan melawan jangkitan

• Mereka yang obes

c) Selepas Kepulangan Dari Tanah Suci

i – Khusus Bagi Jemaah Umrah Yang Baru Pulang Dari Tanah Suci:

• Hadkan perjumpaan bersama ramai orang dalam tempoh dua (2) minggu dari tarikh ketibaan di Malaysia.

• Sentiasa mengamalkan kebersihan diri.

• Amalkan mencuci tangan secara kerap.

• Menjaga adab batuk.

• Sekiranya tidak sihat, dapatkan rawatan lanjut serta maklumkan mengenai  sejarah  perjalanan  mereka

kepada  doktor yang merawat.

ii – Khusus Bagi Ahli Keluarga Kepada Para Jemaah Umrah Yang Baru Pulang Dari Tanah Suci:

Sekiranya  ahli  keluarga mempunyai  kontak rapat (close contact) dengan jemaah yang baru pulang dari Tanah

Suci dan mempunyai gejala jangkitan respiratori akut, perlu segera mendapatkan rawatan di klinik / hospital

yang berdekatan.

 

Bahagian Kawalan Penyakit

Kementerian Kesihatan Malaysia Januari 2014



Kembali ke Berita Terkini