JEMAAH GAGAL UJIAN SARINGAN KESIHATAN TIDAK DIBENAR KERJAKAN HAJI

13 Apr 2014

PUTRAJAYA 10 April - Tabung Haji tidak akan membenarkan mana-mana jemaah haji yang gagal dalam ujian saringan kesihatan mengerjakan rukun Islam kelima itu pada tahun ini berikutan penularan wabak penyakit Sindrom Pernafasan Timur Tengah (MERS) di Arab Saudi.

Pengerusinya, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, langkah itu terpaksa diambil selepas wabak penyakit yang sehingga kini tidak mempunyai sebarang vaksin penyembuh telah menyebabkan dua lagi kematian di negara tersebut.

"Pihak TH akan mengambil langkah sewajarnya bagi menangani wabak penyakit ini supaya tidak menyerang jemaah haji kita antaranya dengan melakukan ujian saringan yang ketat dan tidak membenarkan mereka yang gagal ujian itu mengerjakan ibadat haji.

"Kita bimbang wabak penyakit ini menyerang jemaah haji yang tidak cergas sepenuhnya kerana penyakit itu akan menyerang sistem ketahanan badan seseorang," katanya selepas majlis pertemuan dan ucapan selamat jalan kepada anak-anak Permata Insan ke Arab Saudi di Seri Perdana, di sini hari ini.

Yang hadir sama, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Baru-baru ini, pihak berkuasa kesihatan Arab Saudi dalam satu kenyataan berkata, penyakit berbahaya itu telah mengorbankan dua lagi nyawa menjadikan angka korban keseluruhan meningkat kepada 66 orang.

Kematian terbaharu itu menjadikan jumlah kes keseluruhan MERS di Arab Saudi sejak mula menular pada 2012 berjumlah 167 kes.

Menurut Abdul Azeez, kerajaan Arab Saudi telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Malaysia dan menjelaskan secara terperinci persediaan untuk menghadapi wabak tersebut.

"Kita akan bawa pakar perubatan ke sana bagaimanapun jumlahnya masih belum ditetapkan tetapi kita dimaklumkan keadaan agak serius dan jika ada jemaah yang menunjukkan tanda-tanda masalah kesihatan, mereka akan dirujuk terus ke hospital," katanya.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140411/dn_13/Jemaah-gagal-ujian-saringan-kesihatan-tidak-dibenar-kerjakan-haji#ixzz2ylLBS2aG 
© Utusan Melayu (M) Bhd 



Kembali ke Berita Terkini